05 Februari 2009

JAIJ TEGAH UMAT ISLAM SAMBUT HARI KEKASIH

JOHOR BAHRU 5 Feb. - Jangan sambut Hari Kekasih, demikian kenyataan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) hari ini yang menasihatkan masyarakat Islam terhadap trend sambutan Hari Kekasih diraikan pasangan bercinta pada setiap kali tiba tarikh 14 Februari.

Jabatan itu menegaskan, ini kerana sambutan Hari Kekasih itu bercanggah dengan akidah Islam dan mempunyai unsur-unsur ajaran Kristian yang dibawa oleh masyarakat Barat.


''Ia secara tidak langsung bertujuan melekakan serta merosakkan akidah dan akhlak masyarakat Islam,'' kata kenyataan akhbar JAIJ itu.


Sehubungan itu, umat Islam dilarang menyambut Hari Kekasih yang bercanggah dengan agama tersebut.


Tambahnya, kenyataan JAIJ itu adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-71 yang memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam.


''Lagi pun roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah serta dilarang oleh Islam," katanya.


Menurutnya, Valentine merupakan nama sebenar St. Valentino seorang paderi di zaman pemerintahan Ratu Isabella di Sepanyol dan merupakan antara orang yang menghancurkan tamadun Islam di negara tersebut.


Justeru itu, katanya, jika umat Islam merayakan hari berkenaan ia seolah-olah bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.


''Jika seseorang Islam masih berhasrat memberi hadiah kepada seseorang pada hari berkenaan, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep Hari Kekasih,'' tegasnya.


SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 6 FEBRUARI 2009


Tiada ulasan:

Catat Ulasan